Konsep Syariah Dalam Sistem Takaful

Perbincangan Sistem Takaful

Apabila berbicara mengenai sistem Takaful, aspek pematuhan syariah sering diperbincangkan dan diperdebatkan oleh masyarakat Melayu Islam. Ini dapat dilihat melalui tulisan dan coretan yang terpampang di laman-laman sosial, blog dan sebagainya. Apa yang menarik, terdapat golongan yang sentiasa mempertahankan bahawa sistem Takaful adalah patuh syariah dengan melihat kepada usaha yang dilakukan oleh badan-badan berkaitan.

Namun, tidak kurang juga yang memperlekehkan Takaful dan mengklasifikasikannya sebagai tidak patuh syariah dengan hanya melihat campur tangan insurans konvensional dalam urus tadbirnya secara membuta-tuli. Pandangan golongan ini agak dangkal kerana mereka bukan sahaja tidak terlibat secara langsung dengan sistem Takaful malah tidak memahami dasar sistem itu sendiri.

Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat perjalanan sistem Takaful dari perspektif yang lebih menyeluruh. Seperti diketahui, pematuhan syariah merupakan perkara yang terpenting bagi sesebuah pengendali Takaful dalam menjalankan aktiviti dan operasi supaya status syariahnya tidak diragui.

Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah

Ini dapat dilihat dengan merujuk kepada Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2011. Rangka Kerja tersebut dibuat khusus untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan proses tadbir urus Syariah seiring dengan perkembangan pesat kewangan Islam termasuk Takaful.

Beberapa fungsi baharu telah diperkenalkan seperti Penilaian Syariah Dalaman (Shariah Review) dan Audit Syariah (Shariah Audit), disokong oleh Proses Pengurusan Risiko Syariah (Shariah Risk Management) dan Penyelidikan Syariah (Shariah Research).

Fungsi-fungsi ini bertujuan untuk memperluaskan pematuhan Syariah bukan sekadar kepada produk yang ditawarkan malah terhadap seluruh operasi pengendali Takaful.

Dalam Rangka Kerja ini juga, peranan Jawatankuasa Syariah telah diperluaskan daripada hanya memberi nasihat kepada tanggungjawab untuk memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh mereka dilaksanakan sewajarnya.

Jawatankuasa Syariah ini terdiri daripada pakar-pakar syariah yang berkelayakan dalam menentukan dan memastikan tahap patuh Syariah pengendali Takaful sentiasa berada pada tahap memuaskan.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam

Tidak cukup dengan Rangka Kerja ini, Bank Negara Malaysia juga telah memperkenalkan satu akta baharu yang dinamakan sebagai Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (Islamic Financial Services Act 2013) yang memberikan penekanan kepada pematuhan syariah secara menyeluruh.

Sebagai umat Islam, keraguan terhadap sistem Takaful yang dipraktikan di negara kita ini seharusnya dibuang, memandangkan pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh pelbagai pihak semata-mata untuk memastikan ianya sentiasa patuh syariah. Sokongan padu daripada kita amatlah diperlukan bagi memacu pertumbuhan industri ini khususnya dan ekonomi umat Islam umumnya.

Sumber: Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tagged on:
Back to Top